Sunday 30 September 2012

Pengerang RAPID: Hipokrit Tertinggi Pakatan Rakyat


Projek Rapid di Pengerang yang telah dilancarkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan Mei lepas seharusnya menjadi berita baik dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, terutama rakyat Johor dan lebih-lebih lagi penduduk Pengerang.

Ianya satu harapan kepada kehidupan yang lebih baik, kemajuan dan peluang besar yang harus dinikmati terutamanya penduduk Pengerang. Pengerang kini sudah berada di mata dunia.

Ayuh! penduduk dan warga Pengerang, anda sebaiknya bersama-sama beganding bahu bergerak seiring dengan Kerajaan Negeri dan Petronas, merealisaikan projek ini dan menikmati kemudahan, kebaikan dan keuntungan yang bakal dikecapi.

Jangan biarkan anda menjadi mangsa kepada hasutan dan niat jahat mereka yang sentiasa inginkan perpecahan hanya kepentingan politik dan peribadi mereka sendiri.

Banyak projek mega yang sudah terlaksana sekarang menghasilkan banyak keuntungan dan kemudahan yang sama-sama kita nikmati sekarang. Projek lebuhraya, jambatan panjang Pulau Pinang, KLCC, KLIA, dan banyak lagi telah kita tuai hasilnya. Anak-anak kita yang dulu kita tidak tahu nasib masa depannya kini berjawatan dan mempunyai gaji yang baik. Yang berniaga dan rajin mencari peluang kini berpendapatan tinggi.

Mereka yang dulu bising-bising mahu menggagalkan projek itu sekarang tertunduk malu.

Bayangkan sekiranya projek-projek mega itu tidak dapat dijalankan kerana bantahan atau rungutan itu dan ini yang didorong oleh puak-puak pengacau ini. Anda tidak akan dapat menikmati kegembiraan dan kemajuan yang anda kecapi sekarang. Rumah anda sudah terbela, malah semakin besar. Angpau Raya, anda senyum menerimanya.

Ok, mari kita lihat apa isu projek RAPID Pengerang ini yang kita semua tahu adalah projek Petronas yang terbukti dan diyakini seluruh dunia sebagai sebuah syarikat yang beretika, baik pengurusannya, hebat malah sangat tinggi dari segi tanggungjawab sosial dan kemasyarakan.

1. Masalah gangguan kesihatan.
Ini hanya momokan sang pengacau aka parti-parti pembangkang. Petronas ialah sebuah syarikat beretika dan profesional yang sentiasa mematuhi segala syarat dan piawaian yang ditetapkan kerajaan mahupun antarabangsa untuk memastikan keselamatan semua pihak. Malahan projek ini turut disertai syarikat antarabangsa yang besar yang pastinya tertakluk pada syarat keselamatan yang ketat.

2.???

Selain dari masalah kesihatan yang kita yakin mampu Petronas kendalikan dengan baik saya hanya nampak masalah kewangan yang berhubung kait dengan pampasan.

Anda 'kehilangan' rumah, tanah dan punca pendapatan. Semuanya ini diberi pampasan dengan nilai yang saya kira wajar.  Tanah dapat, wang ringgit dapat, rumah serba baru diberi diskaun hebat yang buat orang lain cemburu, dan apa lagi? Infrastruktur baru lagi moden dan sebagainya.

Mungkin ada satu, dua perkara yang anda masih tidak puas hati. Masih ada jalan dan cara untuk mengatasinya. Tidak semestinya dengan wang ringgit. Itupun sekiranya anda masih berlapang dada dengan niat yang baik. Tetapi jika jiwa telah ditaksubkan dengan idea-idea dan hasutan jahat, anda mungkin tidak terfikir cara-cara ini.

Peluang yang bakal hadir di tempat anda di Pengerang tidak terbatas, sangat luas. Peluang dan kebaikan ini jika anda kira dari segi wang ringgit dan anda darabkan dengan tempoh, contohnya 10 tahun akan menampakkan jumlah yang anda rasa rugi itu amatlah kecil, amat tidak berbaloi untuk bertelagah.

Peluang pekerjaan untuk anak anda, peluang perniagaan yang tidak terkira banyaknya, dan peluang kehidupan yang lebih sempurna. Saya pasti infrastruktur, dan pelbagai kemudahan termasuk sekolah, pusat kesihatan, masjid, dan pelbagai kemudahan awam akan bertaraf dunia dan berteknologi tinggi memandangkan Pengerang bakal menjadi bandar penting dunia khususnya di bidang petroleum dan petro-kimia.

Apa yang saya lihat masa kini ialah anda seharusnya bersatu sebagai penduduk untuk menjayakan projek ini dan bersatu dan bersepakat untuk berunding dengan pihak bertanggungjawab untuk mendapatkan keuntungan dari projek Rapid ini. Sebagai contoh, sebahagian keperluan projek harus diberikan pada anda, contoh pembekalan makanan. Atau satu blok kedai atau 'food court'. Bergantung kepada pemikiran anda. Jangan bataskan keupayaan dan jangan dibutakan mata hati anda dek hasutan dan niat jahat mereka.

Pihak pakatan rakyat akan menghapuskan projek ini jika berjaya memerintah negara. Apa alasannya?

Kesihatan? Kewangan? Sayangkan tanah pusaka? - Hipokrit belaka!

Jadi saya seru penduduk Pengerang dan warga Johor yang bijaksana agar melihat sedikit ke hadapan dan pasti anda akan lihat Pengerang yang maju, dinamik, lebih sempurna dan lebih terjamin.








No comments:

Post a Comment



Your Feedback Is Always Appreciated.

Please do not spam, spam comments will be deleted immediately upon my review.

Regards

Mikka Adam
Back To Home