Sunday, 28 October 2012

Abby Abadi: Ambil Galah Tolong Jolokkan.


IKLAN:

Cara yang pantas lagi ekspres untuk melayakkan diri bergelar ustaz atau ustazah, dan yang paling utama sebagai wakil Tuhan, jurucakap Allah SWT. 

Hanya di Malaysia sahaja.

Terbuka pada semua lapisan masyarakat.

Pengalaman dan kelulusan akademik tidak diutamakan. 

Mereka yang ada pengalaman dan kebolehan berlakon dialu-alukan.

Ganjaran dan imbuhan: Boleh bincang........ (kalau dapat Putarajaya PRU 13 ni, komisen dan pahala yang tidak putus-putus)


Parti kami parti PAS adalah satu-satunya agen EKSKLUSIF yang dilantik oleh Allah SWT untuk segala urusan, samada urusan duniawi mahupun akhirat.

Dijamin HALAL dan Dijamin SYURGA.


Nak jadi ustaz/ustazah bukannya susah sangat pun. Nak ada kelayakan mengkafirkan orang pun tak susah mana. Hanya perlu masuk politik dan jadi ahli parti PAS.

Abby Abadi, pelakon terkenal kini banyak berbicara pasal Tuhan, ketuhanan, hukum-hakam, Islam, Al-Quran, hudud dan lain-lain. Setelah kenal dan mengenali Allah SWT, Abby yakin telah mendapat hidayah dan kini berjuang berdakwah untuk Allah SWT. Setelah masuk parti poltik PAS.


Lebih kurang sama juga dengan Tan Sri Kadir 'Wahyu' Fadzir. Masuk PKR setelah seakan-akan mendengar suara Allah menyerunya kembali berjuang. Suara yang mati pun dia dengar, suara Tunku Abdul Rahman, Tun Fuad Stephens dan lain-lain. Yang ini, Allah SWT 'mewahyukan' dia masuk PKR pulak.

Siapa lah lepas ni akan dapat hidayah atau petunjuk agar berpolitik masuk DAP pulak.

Kembali kepada Abby Abadi. Dia telah naik darjatnya dan naik maqam setelah masuk parti PAS. Dulu jahil sekarang berilmu, sudah mengenal Allah SWT. Alhamdulillah, atas dasar persaudaraan Islam, saya harap Abby terus mendapat perlindunganNYA dan rahmatNYA.

Tetapi, persoalannya..... kenapa Politik? Kenapa masuk parti politik?

Saya faham tentang keghairahan dan emosi bila mendapat sesuatu yang 'baru'. Bukan nak kata dia bodoh politik, tetapi hakikatnya politik Islam dan mempolitikkan Islam adalah berbeza.

"Kami budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan."

Jangan jadi galah yang sentiasa menjolok ke sana dan sini. Jangan relakan diri untuk dijadikan alat untuk menjolok menghentam sana dan sini kerana arahan atau kerana rasa tanggungjawab parti atau kerana rasa akan dapat pahala. Tertanya-tanya  juga, siapa mentor Abby dalam PAS.

Saya nak tekankan di sini, berdakwah untuk Allah SWT, untuk menambahkan keimanan pada Allah dan berjuang di jalan Allah berbeza dengan berdakwah untuk parti PAS. Sama sekali tidak sama.

Sibuk kini bercerita pasal Islam, pasal Hudud, dan pasal negara Islam.

Bekas MB Perak, DS Nizar Jamaluddin menyatakan dalam persidangan DUN Perak maksudnya begini "Tolong nyatakan di mana dalam transkrip atau memorandum PAS yang menyatakan PAS akan melaksanakan negara Islam?" yang membawa erti PAS tidak akan melaksanakan negara Islam dan Hudud, (dengan niat prasangka baik, saya ambil maksud PAS belum lagi hendak melaksanakan hudud). Klik  kenyataan Nizar dalam sidang DUN

Presiden PAS, DS Tuan Guru Haji Hadi Awang pun menyatakan bahawa yang lebih utama adalah menyelesaikan tiga isu sebelum hudud boleh dilaksanakan. Ia berkaitan penggangguran, membasmi kemiskinan dan gaji minima. Baca sini. 

Apakah ini bukannya bermaksud, Hudud boleh tunggu, ada yang lebih penting. Jadi bagi mereka yang hendak hudud dilaksanakan serta-merta, tiada kompromi, kalau tidak bermakna mengingkari Allah SWT, sila rujuk pada tokoh pemimpin pujaan anda dahulu. 

Lepas dah rujuk dan minta nasihat pemimpin atasan seperti TG Hadi Awang dan Mat Sabu tentang hudud, maka langkah seterusnya ialah melangkah mayat Karpal Singh. Nak mempertahankan tanah kubur islam pun takut-takut, kerana nak jaga hati rakan seperjuangan DAP. Apa lagi dan mana lagi tanah islam yang akan diserahkan urusannya pada DAP semata-mata nak jaga hati rakan politik sehidup semati DAP kononnya atas semangat setiakawan dan kesamarataan.

Politik Islam kah jika tersirat kebencian tak berpenghujung? Menghentam sewenang-wenang sebelum berfikir. Jika yang ingin dilantik sebagai Perdana Menteri nanti adalah DS Anwar yang merupakan Raja Gimik dan Raja Auta yang menghalalkan apa cara sekalipun demi sebuah kerusi di Perdana Putra.

Ini bukan poltik islam. Ini politik hasutan, politik khianat, politik adu dumba dan politik temberang lebih. Politik macam ini lah yang membuat kita menyedari bahawa sesungguhnya politik dan Islam wajib dipisahkan.

Pada Abby yang abadi, nak bertanya juga, sudah kenal Allah ya! Bolehkah Abby rujuk dahulu dengan pemimpin PAS dan ulamaknya samada Allah yang Abby kenal itu sama dengan Allah yang Mat Sabu kenal. Tanyalah juga pada pemimpin agung PAS yang lain. Dan lihatlah apa jawab TG Hadi. Apa kata Mat Sabu. Apa kata Nik Abduh. Apa jawapan Haron Din.

Tanyalah, dan insyaAllah anda akan dapat jawapannya. Jika Hudud dilaksana, siapa mereka yang akan menggubal hukum itu ya, versi Mat sabu ke, versi Haron Din, versi Nik Abduh ke atau versi Hadi Awang. Atau nak pakai versi Dr Asri atau ustaz Azhar Idrus. Ada bezanya. Banyak beza.

Jadi, pada Abby, sabar lah. Jangan jolok sangat jika belum kenal mainan politik.

Jangan riak dan takabur kerana nikmat dan hidayah yang Allah kurniakan itu. 

Jangan tuduh orang yang tidak sokong PAS itu sesat dan tidak dapat petunjuk. 

Jangan sangka orang selain ahli PAS itu tidak kenal Allah.

Politik dan Islam ini lain, sebabnya orang menggunakan Islam untuk politik. Politik penuh dengan muslihat dan tipu daya. Orang pakai Allah untuk politik. 

Dan politik kotor dan berjanji palsu tiada dalam Islam(kecuali pada sesetengah islam mungkin ada, dan lagi dah jatuh wajib untuk menipu, menyamar dan berpura-pura). Sila rujuk pada pemimpin anda.

Akhir kata, baiklah berdakwah untuk mengajak yang bukan islam agar memahami islam dan pada saudara islam yang lain agar bertambah keimanannya kepada Allah. Jangan berdakwah untuk parti. Tidak pula berdakwah kerana rasa diri sudah betul, maka yang lain salah.

Janganlah memperdagangkan Allah semata-mata kepentingan politik parti PAS.










Saturday, 13 October 2012

Rakyat Tertunggu 'Wahyu' Terbaru Kadir Sheikh Fadzir



 



Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir baru-baru ini telah mengangkat dirinya sebagai penyelamat bangsa, agama dan negara. Allah SWT sendiri yang mengarahkan beliau untuk turun ke padang, kembali masuk arena politik untuk menyelamatkan Malaysia.

Tiada pengantara Malaikat Jibrail, Kadir bersiaran langsung terus menerus dengan Allah SWT. Inilah insan yang ditunggu-tunggu. Inilah anugerah Allah kepada kita semua rakyat Malaysia. Kita kini sudah ada pemimpin, penyelamat negara yang boleh terus mendengar suara Allah.

Haiyaa..... boleh main-main kah dengan Allah? Nak pakai nama Tunku Abdul Rahman atau Tun Fuad Stephen...... lantak kau lah. Tapi nak pakai Allah????

Suara Allah? Seakan-akan suara Allah? Macam suara Allah? Rasa macam suara Allah? Suara Allah lah kot!

Bengong betul Pak Kadir kita ni. Sewenang-wenangnya guna nama Allah.


Adakah Allah SWT telah memilih Kadir sebagai wakilnya di bumi Malaysia? Hampir sama tarafnya dengan nabi atau rasul, tetapi apa kan daya, tidak ada nabi atau/dan rasul selepas junjungan besar nabi Muhammad SAW.

TAKBIR!!

Tokoh-tokoh alim ulamak dari PAS seolah-olah akur dengan kenyataan ini. Mereka sendiri pun tidak dapat mendengar suara Allah, yang dapat bermimpi RasulluLlah pun dah cukup besar rahmat.

Diam tanda setuju. Atau bisu. Mungkin juga takut.

Dalam hal ini ternyata pimpinan PAS diam walhal ia membabitkan soalan agama, mempermainkan Allah. Biarlah, biarlah pejuang agama Islam, pendokong syariat Allah ini diam. Mungkin sudah nampak tanda-tanda akan ada Mursyidul Am yang baru, yang lebih hebat dan yang lebih rapat dengan Allah.

Kini, rakyat Malaysia ternanti-nanti 'wahyu' terbaru Sheikhul Islam Kadir Sheikh Fadzir ini, adakah diarah bertanding di Palimen atau DUN, dan negeri dan daerah mana pulak yang bertuah untuk mendapat khidmat dan karomah Kadir ni.

Hanya ada 2 kesimpulan: Sheikh Kadir ini samada Wali atau Kuali.

Pilihlah......tepuk dada tanya lah iman.



Untuk melihat Ucapan bersejarah dengar suara Allah.

Komen dari Ustaz Fathul Bari

Komen dari Ustaz Azhar Idrus




Thursday, 11 October 2012

Keldai PR: Siapa Tunggang, Siapa Tanggung dan Siapa Tonggeng?




Kawan saya yang baru-baru ini juga telah diterima sebagai ahli keluarga (ikatan keluarga atas dasar perkahwinan) menyatakan Pas akan tetap bersama Pakatan Rakyat untuk mencapai cita-citanya untuk membungkuskan UMNO dan sekutunya.

Dia merupakan ahli dan penyokong tegar PAS. Kami biasa bersembang pasal politik bila bertemu. Tidak kira waktu, musim raya, bulan puasa, masa kenduri kendara atau bertemu ketika ziarah. Biasanya dia yang akan mulakan dulu dan topiknya mesti politik - kenapa PAS perlu menang PRU13 kali ini.

Ketika itu kami sedang menunggu hidangan makan malam semasa keluarga saya menziarahinya baru-baru ini. Saya ok je, layan aje lah. 

Lebih baik mendengar dari mulut ahli parti dari mendengar pemimpinnya yang pastinya retorik politik semata dek nak dapat undi dan jaga hati parti lain. Kalau dari ahli, ia lebih bersifat terbuka dan luahan hati sendiri. Dari hati ke hati.............

Saya nyatakan bahawa Pas kini seolah telah tumpul taringnya, telah pudar wibawanya dan berada di kedudukan yang janggal dan ganjil dalam Pakatan Rakyat. Sentiasa dibayangi dan diawasi oleh DAP dan PKR. PAS yang sentiasa juara membawa agenda dan prinsip islam kali ini bagaikan terikat sebelah tangan.

Saya juga katakan masalah ini disebabkan oleh ikatan PAS dengan PKR atau lebih tepat Anwar kerana saya rasa Anwar adalah tukang putar belit dan tukang gimik terhebat dekad ini.

Saya tidak mahu sebut kes yang lama-lama kerana tidak tahu hujung pangkal, cukuplah sejak 3-4 tahun ini. 

Saya kasi contoh kes Scorpene yang mana Anwar nak panggil peguam Suaram untuk beri penerangan di parlimen tentang perjalanan kes ini. Saya tidak nampak kewarasannya melainkan hanya gimik kerana kita sudah tahu kes scorpene masih di peringkat awal, hakim tengah menjalankan siasatan awal samada kes ini boleh masuk mahkamah atau tidak. Itu sahaja. Saya rasa Anwar macam 'terlebih sudah!'. Lebih sudu dari kuah.

Kawan saya membangkitkan pula isu kroni, korupsi dan macam-macam lagi. Saya katakan hakim sedang buat siasatan awal, biarlah dia buat kerja dahulu. Kalau ada kes dan dibawa ke mahkamah, barulah boleh pukul gendang. Ini belum apa-apa lagi dah macam beruk kena belacan.

Kemudian saya bagitahu dia 'ibu segala gimik' yang tiada gimik selain dari gimik ini. 'Raja Gimik'. Inilah gimik yang membuatkan ramai yang ingin lari dari PKR.

Masih ingat kes Liwat 2?

Masih ingat Anwar mencanangkan pada rakyat Malaysia yang dia ada saksi alibi yang akan mematahkan pendakwaan dan membebaskan dia. Bukan satu, bukan dua. Malahan ada 10 saksi alibi. Untuk makluman, saksi alibi adalah sangat kuat dalam sesebuah kes mahkamah. Jika pada waktu tersebut, Anwar berada di unit kondominium yang berlainan dari yang tersebut dalam kes, dan dia ada saksi alibi, ini sudah cukup mematahkan keterangan dari hanya seorang pendakwa atau mangsa kes.

Saksi alibi ini termasuk isteri Anwar sendiri, Dr Wan Azizah, pemilik kondominium itu, Hasanuddin Abdul Hamid; bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Datuk Dr. Mohamad Ariff Abdul Kareem; pegawai bank Deutsche Bank(M) Bhd., Raymond Yeoh Cheng Seong dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Omar Malek Ali Merican. Campur lagi 4-5 orang pembantu rumah, pemandu dan lain-lain.

Namun, keganjilan berlaku berlaku di mana tiada seorang pun antara saksi alibi ini yang hadir memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah. Ya, termasuk Dr Wan Azizah, dia pun tak sanggup nak tolong Anwar sebagai saksi alibi. Hinggalah ke akhir kes. Tiada satu pun saksi alibi.

Ini sudah jelas dan nyata kebohongan Anwar yang tidak boleh terampun lagi. Satu Malaysia dikencingnya. Nah, jelas bukan. Masih lagi mahu bersekongkol dengan manusia macam ini?

Pada masa inilah kawan saya menambah bahawa dalam PAS sendiri, ada sebahagian yang memang tidak suka dengan Anwar dan/atau PKR. Saya juga sedia maklum telah ada gerakan dalam PAS yang tidak mahu Anwar dan berusaha bagaimana hendak mengurangkan pengaruh Anwar dalam parti PAS.


Kemudian kawan saya berkata lagi yang isu Mat Sabu sebagai penganut syiah adalah tohmahan dan fitnah. 

Saya menjelaskan, " Mat Sabu sendiri pun tidak pernah menafikannya."
 
Di kala ini lah dia menyatakan bahawa walau apa pun PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat.

Saya sambung lagi, "ya lah, bersama PR, PAS boleh rasa kerusi exco, dan dah ada kuasa dalam PBT. (saya bercakap dalam konteks Selangor kerana kami warga Selangor). Tetapi kuasa yang mutlak kelihatan terletak pada PKR dan DAP. Exco agama Islam pun PAS tidak dapat pegang."

Dia tambah lagi, matlamat perjuangan PAS iaitu Islam tetap tidak berubah. Ini adalah strategi jangka panjang.

Saya (dalam hati), "Siapa yang nak perkudakan siapa ni. Nak kudakan Anwar? Silap-silap tertonggeng nanti. Nak lawan Karpal, langkah mayat dulu. Menang jadi abu, kalah jadi arang. Lantak lah korang."

Perbualan terhenti apabila panggilan menjamu selera kedengaran. Bersambung.......


Nota Mikka: Pada setiap detik perbualan atau perdebatan, tidak sekali-kali kami mencarut, memaki hamun atau mengeluarkan perkataan biadap. Setakat ayat-ayat provokasi dan ayat menguji kesabaran itu biasalah. Politik pegangan masing-masing. Persaudaraan sesama islam tetap kami jaga.