Showing posts with label Selangor. Show all posts
Showing posts with label Selangor. Show all posts

Thursday, 11 October 2012

Keldai PR: Siapa Tunggang, Siapa Tanggung dan Siapa Tonggeng?




Kawan saya yang baru-baru ini juga telah diterima sebagai ahli keluarga (ikatan keluarga atas dasar perkahwinan) menyatakan Pas akan tetap bersama Pakatan Rakyat untuk mencapai cita-citanya untuk membungkuskan UMNO dan sekutunya.

Dia merupakan ahli dan penyokong tegar PAS. Kami biasa bersembang pasal politik bila bertemu. Tidak kira waktu, musim raya, bulan puasa, masa kenduri kendara atau bertemu ketika ziarah. Biasanya dia yang akan mulakan dulu dan topiknya mesti politik - kenapa PAS perlu menang PRU13 kali ini.

Ketika itu kami sedang menunggu hidangan makan malam semasa keluarga saya menziarahinya baru-baru ini. Saya ok je, layan aje lah. 

Lebih baik mendengar dari mulut ahli parti dari mendengar pemimpinnya yang pastinya retorik politik semata dek nak dapat undi dan jaga hati parti lain. Kalau dari ahli, ia lebih bersifat terbuka dan luahan hati sendiri. Dari hati ke hati.............

Saya nyatakan bahawa Pas kini seolah telah tumpul taringnya, telah pudar wibawanya dan berada di kedudukan yang janggal dan ganjil dalam Pakatan Rakyat. Sentiasa dibayangi dan diawasi oleh DAP dan PKR. PAS yang sentiasa juara membawa agenda dan prinsip islam kali ini bagaikan terikat sebelah tangan.

Saya juga katakan masalah ini disebabkan oleh ikatan PAS dengan PKR atau lebih tepat Anwar kerana saya rasa Anwar adalah tukang putar belit dan tukang gimik terhebat dekad ini.

Saya tidak mahu sebut kes yang lama-lama kerana tidak tahu hujung pangkal, cukuplah sejak 3-4 tahun ini. 

Saya kasi contoh kes Scorpene yang mana Anwar nak panggil peguam Suaram untuk beri penerangan di parlimen tentang perjalanan kes ini. Saya tidak nampak kewarasannya melainkan hanya gimik kerana kita sudah tahu kes scorpene masih di peringkat awal, hakim tengah menjalankan siasatan awal samada kes ini boleh masuk mahkamah atau tidak. Itu sahaja. Saya rasa Anwar macam 'terlebih sudah!'. Lebih sudu dari kuah.

Kawan saya membangkitkan pula isu kroni, korupsi dan macam-macam lagi. Saya katakan hakim sedang buat siasatan awal, biarlah dia buat kerja dahulu. Kalau ada kes dan dibawa ke mahkamah, barulah boleh pukul gendang. Ini belum apa-apa lagi dah macam beruk kena belacan.

Kemudian saya bagitahu dia 'ibu segala gimik' yang tiada gimik selain dari gimik ini. 'Raja Gimik'. Inilah gimik yang membuatkan ramai yang ingin lari dari PKR.

Masih ingat kes Liwat 2?

Masih ingat Anwar mencanangkan pada rakyat Malaysia yang dia ada saksi alibi yang akan mematahkan pendakwaan dan membebaskan dia. Bukan satu, bukan dua. Malahan ada 10 saksi alibi. Untuk makluman, saksi alibi adalah sangat kuat dalam sesebuah kes mahkamah. Jika pada waktu tersebut, Anwar berada di unit kondominium yang berlainan dari yang tersebut dalam kes, dan dia ada saksi alibi, ini sudah cukup mematahkan keterangan dari hanya seorang pendakwa atau mangsa kes.

Saksi alibi ini termasuk isteri Anwar sendiri, Dr Wan Azizah, pemilik kondominium itu, Hasanuddin Abdul Hamid; bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Datuk Dr. Mohamad Ariff Abdul Kareem; pegawai bank Deutsche Bank(M) Bhd., Raymond Yeoh Cheng Seong dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Omar Malek Ali Merican. Campur lagi 4-5 orang pembantu rumah, pemandu dan lain-lain.

Namun, keganjilan berlaku berlaku di mana tiada seorang pun antara saksi alibi ini yang hadir memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah. Ya, termasuk Dr Wan Azizah, dia pun tak sanggup nak tolong Anwar sebagai saksi alibi. Hinggalah ke akhir kes. Tiada satu pun saksi alibi.

Ini sudah jelas dan nyata kebohongan Anwar yang tidak boleh terampun lagi. Satu Malaysia dikencingnya. Nah, jelas bukan. Masih lagi mahu bersekongkol dengan manusia macam ini?

Pada masa inilah kawan saya menambah bahawa dalam PAS sendiri, ada sebahagian yang memang tidak suka dengan Anwar dan/atau PKR. Saya juga sedia maklum telah ada gerakan dalam PAS yang tidak mahu Anwar dan berusaha bagaimana hendak mengurangkan pengaruh Anwar dalam parti PAS.


Kemudian kawan saya berkata lagi yang isu Mat Sabu sebagai penganut syiah adalah tohmahan dan fitnah. 

Saya menjelaskan, " Mat Sabu sendiri pun tidak pernah menafikannya."
 
Di kala ini lah dia menyatakan bahawa walau apa pun PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat.

Saya sambung lagi, "ya lah, bersama PR, PAS boleh rasa kerusi exco, dan dah ada kuasa dalam PBT. (saya bercakap dalam konteks Selangor kerana kami warga Selangor). Tetapi kuasa yang mutlak kelihatan terletak pada PKR dan DAP. Exco agama Islam pun PAS tidak dapat pegang."

Dia tambah lagi, matlamat perjuangan PAS iaitu Islam tetap tidak berubah. Ini adalah strategi jangka panjang.

Saya (dalam hati), "Siapa yang nak perkudakan siapa ni. Nak kudakan Anwar? Silap-silap tertonggeng nanti. Nak lawan Karpal, langkah mayat dulu. Menang jadi abu, kalah jadi arang. Lantak lah korang."

Perbualan terhenti apabila panggilan menjamu selera kedengaran. Bersambung.......


Nota Mikka: Pada setiap detik perbualan atau perdebatan, tidak sekali-kali kami mencarut, memaki hamun atau mengeluarkan perkataan biadap. Setakat ayat-ayat provokasi dan ayat menguji kesabaran itu biasalah. Politik pegangan masing-masing. Persaudaraan sesama islam tetap kami jaga.






Tuesday, 9 October 2012

Zuraida Ampang Putar Belit Fakta?



Zuraida Kamaruddin MP Ampang dibidas kerana cuba memutar belit fakta berkaitan Bajet 2013.

Bajet 2013 memperuntukan perkhidmatan pemeriksaan percuma mammogram untuk wanita 40 tahun dan ke atas. Sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan dan akan membabitkan seramai 100,000 wanita.

Bagaimanapun Zuraida mendakwa peruntukan itu hanya untuk 1000 orang sahaja. Mak ooii! jauh beza tu.... 100 ribu dengan 1 ribu, 100 kali ganda tu. Lihat laporan BERNAMA Parlimen: Ketua Wanita PKR Dibidas Kerana Cuba Putar Belit Belanjawan Pemeriksaan Mammogram.

Sebagaimana yang saya cuba nyatakan selalu, pemimpin pakatan ni, cara politiknya.... semberono dan membabi buta. Tidak tahu antara fakta dan auta. Akibat gelojoh nak hentam orang, lupa yang dia semestinya pastikan faktanya terlebih dahulu.

Seperti yang telah nyatakan dalam post YB Buta Hati Atau Membabi Buta? ada 2 sebab je mengapa ini berlaku pada golongan cerdik pandai seperti YB dan yang berjawatan tinggi dalam parti.

1. Sengaja tidak mahu faham - Golongan yang buta hati dan buta perut serta berniat jahat untuk menyebar fitnah. Kaki putar belit dan kaki auta. Nyahkan mereka ini. Mereka tidak layak duduk di kerusi Parlimen.

2. Memang kurang ilmu dari segi bahasa atau kefahaman - Perlu diajar, masuk tadika kefahaman. Perlu dibimbing agar lebih dahulu bertanya dan lebih sensitif daripada bertindak semberono dan membabi buta supaya tiada insan yang menjadi mangsa fitnah dek kebodohan sendiri.

Yang pastinya Zuraida ini belaan Azmin. Mungkin dah berjangkit sindrom semberono ini. Banyak-banyakkan lah makan ubat ya!

Rasa-rasanya YB Zuraida ini dalam kategori mana? Buta hati atau membabi buta.

Saturday, 6 October 2012

Oh! Selangorku, Oh! Sampahku

Kebajikan rakyat Selangor terabai lagi. Ingatkan isu kutipan sampah ini sudah selesai, namun berulang lagi. Ingatkan kerajaan ini benar-benar prihatin tentang masalah ini, rupanya tidak.

Apa lagi masalahnya?

Apa lagi alasannya?

Lori kompaktor khas untuk mengangkut sampah sudah dibeli. Malahan bas mewah super canggih untuk program merdeka rakyat juga sudah ada. 

Mengapa masalah sampah ini masih belum selesai? Janganlah terlampau sibuk naik bas merdeka rakyat, nak jelajah sana sini, Jelajah lah juga tong-tong sampah.

Jadi, mana pergi lori-lori kompaktor ini. Adakah kawasan kami dipinggirkan, mungkin kerana di sini penduduknya hampir 99% melayu?

Ini fakta terkini:

1. Dahulu: Jadual kutipan sampah adalah 3 kali seminggu dan ia dijalankan cukup teratur mengikut jadual. Penduduk tahu bila masa yang sesuai untuk meletakkan sampah di tong sampah kerana tidak mahu sampah terlonggok terlalu lama.

Sekarang: Proses kutipan jadi tidak menentu. Di tempat saya ini, dari sabtu minggu lepas sehingga ke hari ini, sabtu pukul 3.30 petang, hanya satu saja kutipan yang telah di buat iaitu pada hari Selasa lepas.

2. Dahulu: Lori pengangkut sampah kompaktor digunakan untuk mengangkut sampah.

Sekarang: Lori kecil 1 tan berdinding kayu digunakan untuk mengangkut sampah. Ada logik ke? Bayangkan sampah atau air sampah yang tercicir atau mengalir dari lori kayu ini?

Masalah kutipan sampah adalah masalah yang besar maka kerajaan PR Selangor yang ada pada hari ini semestinya serius menanganinya. Ianya berkaitan kebersihan, kesihatan dan kebajikan rakyat.

Pada masa artikel ini ditulis, jiran selang 2 rumah akan mengadakan kenduri kahwin esok (Ahad 7 Oktober). Namun saya lihat sampah masih lagi belum dikutip (kutipan terakhir Selasa) dan sampah berlimpahan keluar tong sampah dan akan mecacatkan pemandangan dan keindahan suasana kenduri kahwin. Apa lagi dengan bau atau lalat dan langaunya. 

Adakah pihak berkuasa ingin membiarkan penduduk sendiri mencari tempat buangan sampah mereka. Adakah ini corak pentadibran dan pengurusan yang baru? Delegasikan urusan sampah kepada empunya sampah?

Selesaikan dengan segera. Ini kerajaan kebajikan rakyat ke atau kerajaan katun mengkatunkan rakyat. Kalau tak mampu nak hadapi, serahkan pada yang mampu dan berpengalaman. Bukannya beri alasan demi alasan.

Kalau dahulu dikatakan kutipan ini ada unsur sabotaj, tapi sekarang apa pula alasan akan yang diberikan.

Saya ingin tegaskan supaya tindakan tegas diambil pada mereka yang terlibat:

Exco yang bertanggungjawab harus disingkir kerana gagal dalam tugasnya. Kalau pada awal tahun dahulu penduduk di sini mungkin memahami keadaan kerana pertukaran sistem pengurusan sampah di mana Alam Flora tidak lagi memungut sampah, dan kontraktor baru telah dipilih mengambil alih tugas itu. Tetapi sekarang sudah 9-10 bulan, masih belum boleh selesaikan? Karut betul exco kalau macam ini. Lemah dan tidak berdaya - hanya mampu beri alasan.

Kontraktor yang terpilih harus dibuang atau dikenakan tindakan undang-undang kerana gagal menunaikan tanggungjawab kontraknya. Itulah, orang nak kutip sampah, hang pun nak juga. Orang lain buat kerja dengan baik, hang main ikut suka-suka.

Kerajaan PR yang hanya tahu sibuk berpolitik, sibuk menghasut sana sini, bergaduh sesama sendiri dan rasa sudah cukup bagus mentadbir negeri tetapi terbukti haprak, kerajaan yang macam ini kita tidak mahu lagi. Sibuk mencari kesalahan orang lain, kesalahan sendiri walaupun busuk, dibaunya amat wangi. 

Kerajaan ini kerajaan yang lemah: isu sampah pun tidak dapat selesai, nak tadbir urus negara. Itulah orang jadi PM, hang pun nak jadi PM.