Thursday 11 October 2012

Keldai PR: Siapa Tunggang, Siapa Tanggung dan Siapa Tonggeng?




Kawan saya yang baru-baru ini juga telah diterima sebagai ahli keluarga (ikatan keluarga atas dasar perkahwinan) menyatakan Pas akan tetap bersama Pakatan Rakyat untuk mencapai cita-citanya untuk membungkuskan UMNO dan sekutunya.

Dia merupakan ahli dan penyokong tegar PAS. Kami biasa bersembang pasal politik bila bertemu. Tidak kira waktu, musim raya, bulan puasa, masa kenduri kendara atau bertemu ketika ziarah. Biasanya dia yang akan mulakan dulu dan topiknya mesti politik - kenapa PAS perlu menang PRU13 kali ini.

Ketika itu kami sedang menunggu hidangan makan malam semasa keluarga saya menziarahinya baru-baru ini. Saya ok je, layan aje lah. 

Lebih baik mendengar dari mulut ahli parti dari mendengar pemimpinnya yang pastinya retorik politik semata dek nak dapat undi dan jaga hati parti lain. Kalau dari ahli, ia lebih bersifat terbuka dan luahan hati sendiri. Dari hati ke hati.............

Saya nyatakan bahawa Pas kini seolah telah tumpul taringnya, telah pudar wibawanya dan berada di kedudukan yang janggal dan ganjil dalam Pakatan Rakyat. Sentiasa dibayangi dan diawasi oleh DAP dan PKR. PAS yang sentiasa juara membawa agenda dan prinsip islam kali ini bagaikan terikat sebelah tangan.

Saya juga katakan masalah ini disebabkan oleh ikatan PAS dengan PKR atau lebih tepat Anwar kerana saya rasa Anwar adalah tukang putar belit dan tukang gimik terhebat dekad ini.

Saya tidak mahu sebut kes yang lama-lama kerana tidak tahu hujung pangkal, cukuplah sejak 3-4 tahun ini. 

Saya kasi contoh kes Scorpene yang mana Anwar nak panggil peguam Suaram untuk beri penerangan di parlimen tentang perjalanan kes ini. Saya tidak nampak kewarasannya melainkan hanya gimik kerana kita sudah tahu kes scorpene masih di peringkat awal, hakim tengah menjalankan siasatan awal samada kes ini boleh masuk mahkamah atau tidak. Itu sahaja. Saya rasa Anwar macam 'terlebih sudah!'. Lebih sudu dari kuah.

Kawan saya membangkitkan pula isu kroni, korupsi dan macam-macam lagi. Saya katakan hakim sedang buat siasatan awal, biarlah dia buat kerja dahulu. Kalau ada kes dan dibawa ke mahkamah, barulah boleh pukul gendang. Ini belum apa-apa lagi dah macam beruk kena belacan.

Kemudian saya bagitahu dia 'ibu segala gimik' yang tiada gimik selain dari gimik ini. 'Raja Gimik'. Inilah gimik yang membuatkan ramai yang ingin lari dari PKR.

Masih ingat kes Liwat 2?

Masih ingat Anwar mencanangkan pada rakyat Malaysia yang dia ada saksi alibi yang akan mematahkan pendakwaan dan membebaskan dia. Bukan satu, bukan dua. Malahan ada 10 saksi alibi. Untuk makluman, saksi alibi adalah sangat kuat dalam sesebuah kes mahkamah. Jika pada waktu tersebut, Anwar berada di unit kondominium yang berlainan dari yang tersebut dalam kes, dan dia ada saksi alibi, ini sudah cukup mematahkan keterangan dari hanya seorang pendakwa atau mangsa kes.

Saksi alibi ini termasuk isteri Anwar sendiri, Dr Wan Azizah, pemilik kondominium itu, Hasanuddin Abdul Hamid; bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Datuk Dr. Mohamad Ariff Abdul Kareem; pegawai bank Deutsche Bank(M) Bhd., Raymond Yeoh Cheng Seong dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Omar Malek Ali Merican. Campur lagi 4-5 orang pembantu rumah, pemandu dan lain-lain.

Namun, keganjilan berlaku berlaku di mana tiada seorang pun antara saksi alibi ini yang hadir memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah. Ya, termasuk Dr Wan Azizah, dia pun tak sanggup nak tolong Anwar sebagai saksi alibi. Hinggalah ke akhir kes. Tiada satu pun saksi alibi.

Ini sudah jelas dan nyata kebohongan Anwar yang tidak boleh terampun lagi. Satu Malaysia dikencingnya. Nah, jelas bukan. Masih lagi mahu bersekongkol dengan manusia macam ini?

Pada masa inilah kawan saya menambah bahawa dalam PAS sendiri, ada sebahagian yang memang tidak suka dengan Anwar dan/atau PKR. Saya juga sedia maklum telah ada gerakan dalam PAS yang tidak mahu Anwar dan berusaha bagaimana hendak mengurangkan pengaruh Anwar dalam parti PAS.


Kemudian kawan saya berkata lagi yang isu Mat Sabu sebagai penganut syiah adalah tohmahan dan fitnah. 

Saya menjelaskan, " Mat Sabu sendiri pun tidak pernah menafikannya."
 
Di kala ini lah dia menyatakan bahawa walau apa pun PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat.

Saya sambung lagi, "ya lah, bersama PR, PAS boleh rasa kerusi exco, dan dah ada kuasa dalam PBT. (saya bercakap dalam konteks Selangor kerana kami warga Selangor). Tetapi kuasa yang mutlak kelihatan terletak pada PKR dan DAP. Exco agama Islam pun PAS tidak dapat pegang."

Dia tambah lagi, matlamat perjuangan PAS iaitu Islam tetap tidak berubah. Ini adalah strategi jangka panjang.

Saya (dalam hati), "Siapa yang nak perkudakan siapa ni. Nak kudakan Anwar? Silap-silap tertonggeng nanti. Nak lawan Karpal, langkah mayat dulu. Menang jadi abu, kalah jadi arang. Lantak lah korang."

Perbualan terhenti apabila panggilan menjamu selera kedengaran. Bersambung.......


Nota Mikka: Pada setiap detik perbualan atau perdebatan, tidak sekali-kali kami mencarut, memaki hamun atau mengeluarkan perkataan biadap. Setakat ayat-ayat provokasi dan ayat menguji kesabaran itu biasalah. Politik pegangan masing-masing. Persaudaraan sesama islam tetap kami jaga.






No comments:

Post a Comment



Your Feedback Is Always Appreciated.

Please do not spam, spam comments will be deleted immediately upon my review.

Regards

Mikka Adam
Back To Home